Through inside of my heart...... Through inside of my heart......: Teman Sejati II...

Tuesday, April 18, 2006

Teman Sejati II...

(Muka penyanyi ini mirip muka teman baik ku...)

Aku melangkah masuk ke bilik mayat seorang diri. Penjaga bilik mayat ada di dalam menungguku. Dia teruk bawa aku ke troli arwah Pjen. Sedih aku rasakan ketika itu apabila melihat sekujur tubuh yang hanya diselimuti plastik hitam di atas troli. Apabila plastik hitam itu dibuka, aku istighfar berulang kali dan akhirnya aku meraung sekuat hati. Pilu menyelinap disegenap tubuhku yang sudah tidak bermaya... Memang benar kata isteri arwah, mukanya benar berubah. Aku tidak puas hati... benarkah sekujur tubuh dihadapanku itu adalah Pjen??!! Aku tatapi dalam-dalam muka yang hanya tinggal sebelah sahaja, ya! memang benar Pjen!!!! Ya Allah!!! mengapa begini caranya Pjen meninggal??? Lama aku merenung muka arwah, barulah aku melihat sekujur tubuh yang masih lengkap berpakaian kerjanya. Tubuhnya yang kurus menjadi bengkak sebengkak-bengkaknya dek kerana kejutan arus elektrik voltan kuasa tinggi. Dekat setengah jam juga aku berada di dalam bilik mayat. Selama itu juga fikiranku bermain segala memori suka dukaku selama aku dan arwah bersahabat, dari kecil hingga menginjak ke dewasa... Aku melangkah longlai keluar dari bilik mayat walaupun sebenarnya diriku masih mahu menemani arwah yang keseorangan di situ. Sebelum melangkah keluar, aku mohon pada Allah S.W.T. agar roh arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh. Aku juga mengucapkan selamat tinggal kepada arwah dan aku mengatakan bahawa aku tetap sayangkannya sebagai sahabat sejatiku dunia akhirat.
*********************************
Di luar bilik mayat, isteri arwah menantiku dengan tangisan. Dia memelukku sekuat hati. Aku faham benar bagaimana rasanya rasa sebuah kehilangan. Amat perit, sakit, ngilu, pilu, sedih semuanya bercampur baur. Lebih memilukan lagi apabila polis yang menyiasat kes arwah menceritakan kepada ku saat mereka tiba di tempat kejadian, bagaimana keadaan mayat arwah ketika ditemui... Isteri arwah menyuruhku memegang fail dan handphone arwah. Ada 2 keadaan pelik pada saat kejadian. Pertama, kenapa arwah membawa fail sijil dan diplomanya ke tempat kejadian? Kedua, bagaimana handphone yang berada di dalam poket seluar arwah tidak rosak tetapi hanya berbau hangit sahaja? Sedangkan arwah terkena arus elektrik voltan yang tinggi. Keadaan pelik yang pertama hanya arwah yang tahu dan Allah S.W.T. adalah saksinya. Bagi keadaan pelik kedua pula, ianya adalah kebesaran kuasa Allah S.W.T. yang Maha Agung.
********************************
Sayu aku apabila melihat anak arwah yang berumur 3 tahun itu. Si kecil itu tidak tahu apa-apa mengenai kematian ayah kesayangngannya. Tiba-tiba teringat ku pada kata-kata arwah ketika kami sedang menuju ke kedai emas di Sunway Piramid untuk membeli cincin risik dan tunang bakal isterinya. Arwah berkata " Sebelum aku mati, aku nak tinggalkan seorang anak lelaki." Aku marahkan arwah kerana berkata begitu, "Kita nak pergi beli cincin, tapi ko cakap pasal mati pulak! Aku tak sukalah! Jangan cakap lagi!" Arwah jawab, "Aku cakap betullah.. nanti bila aku mati sekurang-kurangnya bila ko rindu kat aku, ko boleh tengok anak lelaki aku. So, terubatlah sikit rindu ko pada aku. Kalau anak perempuan susahlah pulak sebab tak sama jantina dengan aku." Aku hanya menjawab kembali, "dahlah! Aku malas nak dengar ko merepek lagi!"...... Tatkala aku diberitahu yang isterinya bersalin anak lelaki, aku terkedu sekejap dan risau kerana teringat kata-katanya dulu, tapi aku buang jauh-jauh perasaan risauku itu.... Dan sekarang memang aku mengakui kebenaran kata-kata arwah. Ya! memang bila aku rindu pada arwah dan memandang muka anak lelakinya, terubat juga rinduku pada arwah.
**************************************
Dulu semasa hayat arwah, kami pernah berjanji siapa yang pergi dahulu, maka yang tinggal kenalah menghantar hingga ke liang lahat. Aku pengang janji itu... aku tunaikan janji itu... Aku hantar arwah hingga ke liang lahat. Buat kali terakhir aku menatap wajahnya sebelum arwah diturunkan ke dalam liang lahat. Sayu aku tatkala arwah ditimbus dengan tanah. Abang arwah membacakan Talqin, sedihku rasakan... Walaupun berat nak meninggalkan tanah perkubuarn namun ku gagahi jua kerana 2 Malaikat akan menyusul ke liang lahat untuk menanya arwah... Pjen... aku doakan kau dapat menjawab semua soalan yang ditanya, amin....
**************************************
Al-Fatihah.....

***Semoga Roh Arwah Dicucuri Rahmat... YA Allah...Tempatkanlah Arwah Sahabat Baik ku Dikalangan Orang-orang yang Soleh... Amin...***

**************************************
Pelangi Petang (Sudirman)

Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...

( korus )
Engkau tiba bagaikan pelangi
Tak bercahya namun kau berseri
Tapi cukup menghiburkan
Hati ini

Seharian waktu bersamamu
Tak terasa saat yang berlalu
Bagai pelangi petang kau kan pasti
Pergi jua...
( ulang dari korus )


-Little Snow-
(Asyik Sesuatu... Hilang Sesuatu...)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home